Ada sesetengah orang menganggap Setiausaha Syarikat adalah orang yang menjalankan tugas yang lebih menjurus kepada setiausaha peribadi, setiausaha pejabat, setiausaha eksekutif dan sebagainya.
Tetapi menurut Akta Syarikat, ia merupakan seorang pegawai Syarikat yang berkepentingan dan berperanan dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan Syarikat menjalankan perniagaan berdasarkan pematuhan dan peruntukan yang termaktub di dalam Akta Syarikat 1965.
Untuk menjadi seorang Setiausaha Syarikat perlulah mempunyai kelayakkan profesional dengan menjadi ahli didalam badan-badan profesional yang diiktiraf oleh Menteri atau memperolehi lesen daripada Pendaftar Syarikat iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysi (Seksyen 139A, Akta Syarikat 1965).
Berdasarkan Seksyen 139(1), Akta Syarikat 1965, Syarikat perlulah melantik seorang atau lebih Setiausaha Syarikat dan dan sekiranya berlaku perletakkan atau pemecatan jawatan Setiausaha Syarikat, ianya tidak boleh dibiarkan kosong tanpa ada perlantikan baru dalam tempoh 1 bulan menurut Seksyen 139(1b), akta yang sama.
Di dalam Memorandum dan Perkara-perkara Persatuan, nama bagi Setiausaha Syarikat yang pertama perlulah dinyatakan.
Kuasa perlantikan Setiausaha Syarikat adalah menjadi tanggungjawab Pengarah-pengarah Syarikat (Seksyen 139(3), Akta Syarikat 1965). Pengarah-pengarah Syarikat juga boleh melakukan penyingkiran dan pemecatan bagi jawatan Setiusaha Syarikat.